Dari 'Umar Radiallahu 'anhu juga, telah berkata:
... "Ketika kami duduk dekat Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wassalam pada suatu hari maka sekonyong-konyong nampaklah kepada kami seorang laki-laki memakai pakaian yang sangat putih dan berambut sangat hitam, tak terlihat pada bekasnya (tanda-tanda) perjalanan dan tak ada seorangpun di antara kami yang mengenalnya, maka duduklah lututnya pada lutut Nabi dan meletakkan tangannya di atas paha Nabi, kemudian berkata: "Hai Muhammad terangkanlah padaku tentang Islam!" Maka jawab Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam: "Islam iaitu hendaklah engkau menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah. Hendaklah engkau mendirikan salat, dan mengeluarkan zakat dan hendaklah engkau berpuasa dalam bulan Ramadhan dan hendaklah engkau mengerjakan Haji ke Baitullah (Makkah), jika engkau kuasa menjalaninya.
Berkatalah orang itu: "Benar. Maka kami hairan, ia bertanya dan ia pula membenarkannya. Maka berkatanya lagi orang itu: " Maka terangkanlah padaku tentang Iman." Jawab Nabi: "Hendaklah ungkai beriman kepada Allah, kepada MalaikatNya, kepada kitab-kitabNya, kepada Utusan-UusanNya, kepada hari Qiamat dan hendaklah enkau beriman kepada Qadar yang baik dan buruk" Berkatalah orang tadi "Benar". Bertanya lagi orang itu: "Maka beritahulah padaku tentang Ihsan." Jawab Nabi: "Hendaklah engkau beribadat (mengabdi) kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Sekalipun engkau tak dapat melihatNya. Maka sesungguhnya Ia melihat engkau." Tanya orang itu lagi: "Beritahukanlah aku tentang hari Qiamat." Jawab Nabi: "Orang yang ditanya tentang tidak lebih mengetahui diri sipenanya sendiri. Tanya orang itu selanjutnya: Beritahulah aku tentang tanda-tandanya." Jawab Nabi: Di antaranya jika seorang hamba (Sahaya) telah melahirkan tuannya (majikannya) dan jika engkau melihat orang yang tadinya miskin papa, berbaju cumpang-camping, sebagai penggembala kambing, sudah menjadi mampu hingga berlumba-lumba dalam kemegahan bangunan." Kemudian pergilah orang tadi. Aku diam tenang sejenak kemudian Nabi berkata kepadaku: "Wahai Umar tahukah engkau siapakah yang bertanya tadi?" Jawabku: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Kata Nabi: "Dia itu adalah Jibril datang kepadamu untuk mengajar tentang agamamu."
Diriwayatkan oleh Iman Muslim. Hadis soheh Muslim.
rujukan;
Hadis 40
Keterangan penulis
Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan merupakan asas yang penting dalam kehidupan Ad-Din (kehidupan Islam secara menyeluruh. Saudaraku muslimin muslimat sekalian, mari kita cuba fahami pokok pangkal hadis ini agar semakin bertambah Iman kita dari satu darjat ke darjat yang lebih tinggi dan diredhai. Pujian buat Allah SWT dan selawat salam buat Rasulullah SAW kerana memberi peluang pada kita untuk menghidup dan menghitung setiap nikmat kurniaanNya. Sebelum kita pergi lebih jauh, perkara pertama yang suka bagi ana tekankan disini adalah menuntut ilmu. Muslimin sekalian, kenapa di sini ana mengaitkan soal ilmu? Jawapannya mudah sekali, kita lihat pada awal penceritaan hadis diatas, diceritakan bahawa datang seorang berjubah puih, berambut hitam tak semena-mena mendekatkan dua lututnya pada lutut Rasulullah SAW dan merapatkan tangannya pada paha Rasulullah dan bertanya pada beberapa persoalan. Di sini Allah mahu tunjukkan kepada kita agar tidak leka pada dunia dan hendaklah kita menuntut ilmu sebaik mungkin. Di sini ditunjukkan bahawa seolah-seolah Nabi Muhammad SAW telah bertalaqi' (berguru dan memeriksa pada ilmunya kepada seorang yang lebih arif dan ahli) dengan lelaki berjubah itu tadi (Malaikat Jibril). Apa yang dimaksudkan di sini adalah, kita hendaklah dan wajib bagi kita apabila hendak mahupun berkeinginan untuk mempelajari ilmu agama, maka tidaklah boleh hanya sekadar membaca atau mencari dimana-mana tanpa menuntutnya daripada seorang yang ahli (seorang yang lebih arif pada sesuatu dan diiktiraf kearifannya itu). Diingatkan bahawa mereka yang belajar (ilmu agama) tanpa berguru itu ibarat berguru dengan syaitan, pesan Iman Syafie.
1. Kepentingan Menuntut Ilmu dan Adab-adabnya;
.... Adapun dalil yang mewajibkan pada menuntut ilmu adalah tersebut dalam Hadis Rasulullah yang mafhumnya: "Bermula menuntut ilmu wajib atas tiap-tiap muslim". Demikian banyak lagi hadis yang menceritakan tentang kewajipan dalam menuntut ilmu itu. Dan, ilmu yang wajib dahulu dituntut daripada segala ilmu yang lain adalah ilmu pada Makrifat Allah Azza Wajalla adalah tersebut di dalam Kitab Zubk yang ertinya: "yang permulaan wajib atas manusia iaitu Makrifat Allah dengan yakin". Dan dari kitab Khutbah Lilhabib Thahar bin Hasin, mengatakan ia yang ertinya: "Ketahuilah oleh kamu bahawa asal agama iaitulah mengetahui Tuhan yang disembah sebelumnya membuat ibadat padanya dan adalah pengetahuan itu hakikat makna kalimah syahadah". Disebutkan lagi di dalam Kitab Sifat Dupuluh, "... dan juga telah diketahui kewajipan Makrifat Allah Taala atas tiap-tiap mukallaf. Maka diketahui olehmu bahawa ertinya Makrifat iaitu 'iktikad yag jazam lagi maufiqah pada hak dengan dalil...". Justeru muslimin (termasuk muslimat) sekaliannya, jelas dengan keterangan di atas bahawa wajib pada kita seorang bergelar muslim pada diri kita menuntut ilmu dan sebaik-baik dan seawal-awal ilmu yang dituntut adalah ilmu Usulluddin yakni ilmu kenal pada Allah. Secara ringkasnya mengapa kita wajib belajar pada ilmu mengenal Allah. Muslimin, kita dijadikan oleh Allah Taala untuk untuk beribadat kepadaNya sebagaiman dijelaskan di dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang maksudnya "dan tidak aku menciptakan jin dan insan (manusia) melainkan untuk beribadah". Dan Allah menjanjikan balasan bagi setiap amalan serta ibadat ang kita kerjakan seharian dan dijanjikan syurga pada hambaNya yang taat dan tekun serta ikhlas dalam mengerjakan ibadat seharian. Muslimin, ibaratnya kita bekerja, dan melalui pekerjaan itu kita dijanjikan upah bila tiba waktunya. Bagaimana mampu kita hendak mencapai upah tersebut andai kita langsung tidak mengenali tuannya terlebih dahulu. Kepada siapakah kita mahu rujuk akan upah itu? Justeru, agama Islam merupakan agama yang cukup lengkap dari segenap aspek, dimulakan dengan mengenal Allah, yakni Pencipta pada sekalian alam dan termasuk kita manusia. Maka, dengan mengenal Allah dahululah baru kita mampu untuk meminta atau memohon upah atas apa yang kita kerjakan. Jika banyak amalan yang kita amalkan, maka banyaklah upahnya dan ingatlah Allah itu Maha Adil atas segala sesuatu.
2. Rukun Islam dan Perihalnya;
.... Rukun Islam yang pertama adalah mengucap dua Kalimah Syahadah. Rukun ini mempunyai maksud kalimah yang amat mendalam. Sebagai seorang Islam, kita perlu memahami sepenuhnya maksud disebalik maksud keseluruhan Kalimah Syahadah ini. Kalimah yang bermaksud "Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah". Sukar untuk diterangkan, ada baiknya kita semu pergi mendalami Kalimah ini sedalam-dalamnya kerana peri pentingnya yang teramat sangat. Di dalam Kitab Sifat Dupuluh ada menerang dengan terperinci. Namun ingat, bila mahu belajar kitab ini, pastikan secara berguru dan bukan sendirian. Maka rukun yang kedua itu solat lima waktu sehari semalam. Kita sedia maklum bahawa solat itu tiang agama . Andai roboh solat atau tak lengkap solat, maka tak lengkaplah dan robohlah rukun Islam itu. renungkan. Rukun yang seterusnya itu adalah mengeluarkan zakat, berpuasa di Bulan Ramadhan dan mengerjakan Haji ke Baitullah (Makkah) andai berkuasa. Kita lihat susunan Rukun Islam itu sendiri. Yang pertama adalah mengucap dua Kalimah Syahadat, yakni menunjkkan kepada kita betapa penting mengenali Allah terlebih dahulu. Dan kemudian baru datang rukun yang kedua iaitu Solat yang menjadi tiang agama. Maka apabila kita menjaga solat, InsyaALLAH yang tiga lagi bakal terjaga. InsyaAllah.
3. Rukun Iman Yang Enam;
.... Perkara pertama dalam rukun Islam adalah beriman dan percaya kepada Allah. Keduanya kepada MalaikatNya, kepada Kitab-kitabNya, kepada Utusan-utusanNya, kepada Hari Qiamat dan juga kepada Qada' dan Qadar. Makna kata percaya disini adalah percaya dengan sepenuh hati yakni dengan penuh jazam. Percaya disini adalah percaya dengan penuh yakin. Percaya disini adalah percaya dengan segenap dalil-dalil. Percaya disni bukan percaya membuta tuli tetapi percaya dengan ilmu penuh di dada. Bila mana kita percaya, maka hendaklah kita mengamalkan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Berpegang teguh pada Al-Quran sepenuh jiwa dengan mempelajari, mendalami dan melazimi sepenuh hati. Juga berpegang pada sunnah Rasulullah baik yang dipersembah melalui kata mahupun qaulinya yakni perbuatan. Meyakini setiap apa yang diucap dan disampaikan. Sesuai dengan hadis wida' Rasulullah yang bermaksud "... Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku…”(Sohih Bukhri). Maka dengan itu, hendaklah kita berpegang teguh pada Al-Quran dan As-Sunnah dalam apa jua pekerjaan, perlakuan dan perucapan kita seharian. Dan makna pada kata berpegang disini adalah dengan melazimi segala tindak tanduk kita seharian berlandaskan syariat Islamiah. Hendaklah kita teguhkan hati kita bahawa segala apa yang diaajar dalam Islam itu pasti ada hikmat disebaliknya. Maka kita hendaklah dengan yakin mengamalkan dan mengamati segenap amalan kita itu. Mudah-mudahan dengan itu terlansung jua peningkatan dalam tingkatan iman kita seterusnya mendekatkan lagi diri kita dengan Dia Maha Pencipta dan InsyaAllah syurga ganjarannya.
4. Ihsan Dalam Setiap Pekerjaan;
.... Ihsan dalam erti kata melakukan sesuatu itu seolah-olah kita sedang melihat Allah walaupun pada hakikatnya kita tidak dapat melihatNya bahkan jua Allah yang melihat kita. Maksudnya, dalam setiap perilaku kita, tidak kira dalam ibadat seharian, mahupun pekerjaan dunia dan pekerjaan dunia itu boleh menjadi ibadat jua andai kena dengan Syariat Islamiah yang digariskan dengan sepenuh hati dan penuh keikhlasan. Keikhlasan itu datangnya daripada hati yang penuh suci. Justeru, bagi mendapatkan ikhlas dalam membuat pekerjaan, maka hendaklah kita menyucikan hati kita dari segala barang jenis maksiat sama ada dari segi zahir mahupun batin. Dan ingatlah bahawa syaitan itu telah berjanji dengan Allah Taala bahawa akan dia goda dan sesatkan anak cucu nabi Adam yang tidak ikhlas. Renung-renungkan buat pedoman kita.
5. Tanda Kiamat dan Alamatnya;
.... Antara hal pertama yang menjadi tanda kiamat dalam hadis ini adalah hamba telah melahirkan tuannya. Maksudnya disini adalah apabila seorang ibu telah menjadi hamba pada anaknya sendiri seolah-olah anaknya itu majikannya. Hal ini sekarang ini terlalu berleluasa dalam masyarakat kita bahkan jua ia telah lekat sebagai satu budaya yang tidak sepatutnya. Dan antara tanda yang kedua adalah bila si miskin berlumba-lumba mengejar dunia dan kemegahan bangunan. Di sini dijelaskan bahawa, bilamana sesebuah masyarakat itu asyik berkejaran dengan dunia dan masing-masing berlumba-lumba mencipta bangunan pencakar langit dan sebagainya. Dijelaskan dalam hadis lain bila dunia masing-masing mengejar dan berlumba-lumba dalam mencipta pencakar langit. Sesungguhnya, hal yang sedemikian telah banyak berlaku di mata kasar kita.Akhir sekali, orang Islam jualah yang jadi mangsa akibat dari perilaku mereka sendiri.
Ana rasa cukup dahulu buat masa ini, InsyaAllah, panjang umur ketemu lagi dan andai ada silap kata dan bahasa, harap ditegur agar diri ini bertambah baik dari masa ke masa.
nukilan;
pena 'assya @ qalam irama

kecil.jpg)





2 comments:
salam syahir...maaf ya..tulisan klu blh leh beso kan ckit tak??...agak kecil la...tq..
Waalaikum Salam
Syukran dan terima kasih kepada Saudari NIA di atas pandangan tersebut. InsyaALLAH, untuk posting yang akan datang ana akan guna saiz tulisan yang lebih besar. Sebenarnya bukan apa, ana menggunakan tulisan yang sedemikian adalah disebabkan ianya lebih kemas dan tersusun. Itu yang menarik minat ana. Apa pun syukran di atas pandangan tersebut. InsyaAllah ana akan memperbaiki dari semasa ke semasa demi kepentingan semua.
Sekian, wassalam.
nukilan;
pena 'Assya
Post a Comment