Hadis 4 : Asal Kejadian Manusia Dan Taqdir

Dari Abi 'Abdirrahman 'Abdillah Bin Mas'ud RadiyaLlahu 'anhu telah berkata:



"Telah bersabda Rasulullah SAW dan dialah yang selalu benar dan dibenarkan. " Sesungguhnya tiap orang di antaramu dikumpulkan pembentukannya (kejadiannya) di alam rahim ibunya dalam 40 hari berupa nutfah (air yang kental) kemudian menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian menjadi gumpalan seperti sekerat daging, selama itu juga, kemudian diutuslah kepadanya Malaikat, maka ia meniupkan roh padanya dan diperintahkan (ditetapkan) dengan 4 perkara: 1. ditentukan rezekinya, 2. ajalnya (umurnya) 3. amalnya (pekerjaannya), 4 ia celaka atau bahagia.


Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seorang di antara dia dan Syurga sehingga tidak ada antara dia dan Syurga itu kecuali sehasta saja, maka mendahului atasnya ketentuan (taqdir) Tuhan, lalu ia mengerjakan pekerjaan ahli neraka, maka iapun masuk neraka. Dan sesungguhnya salah seorang diantara kamu mengerjakan pekerjaan ahli neraka sehingga tak ada diantara dia dan neraka kecuali sehasta saja, maka ia didahului ketentuan Tuhan atasnya, lalu ia mengerjakan pekerjaan Ahli Syurga maka iapun masuklah ke dalam Syurga.


Diriwayatkan oleh Iman Bukhari dan Muslim

rujukan;

Kitab Hadis 40


Keterangan penulis,


Di kesempatan ini (sebelum penulis berbicara tentang hadis diatas) ana ingin mengucapkan,


Salam Ramadhan Muslimin Muslimat sahabat sekalian...


Moga-moga Ramadhan datang membawa sinar pembaharuan dan ketaqwaan dalam diri kita...


Allah Subha Nahu Wa Taala berfirman dalam Al-Quran;


maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan (difardhukan) ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu agar kamu bertaqwa"

Surah al-Baqarah: ayat 183


Sebelum ana masuk kepada penerangan atau lebih tepat lagi perkongsian berkaitan hadis di atas, suka bagi diri ana mengajukan persoalan buat diri ana dan juga sahabat sekaliannya. Sebenarnya, apa yang kita faham dengan makna berpuasa itu? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga? Atau adakah sekadar mengambil kesempatan untuk merehatkan diri dari penat bekerja? Cuba kita renung kembali, apakah tujuannya kita masing-masing berpuasa? Seharusnya kita memahami apa yang dimaksudkan dengan ayat Allah yang berbunyi ...orang-orang yang beriman... , adakah kita termasuk di kalangan orang-orang yang berimana? Bagaimanakah sebenarnya ciri seorang yang beriman itu? Dan dijelaskan pula bahawa dalam akhir ayat tersebut ...agar kamu bertqwa... Ya, apakah makna TAQWA itu? Hendaklah kita memahami kehendak yang terdapat di dalam berpuasa itu sendiri, moga-moga segala persiapan, perubahan dan perancangan yang telah kita laksanakan di Bulan Ramadhan ini berkekalan dan kian bertambah dari hari ke hari meskipun kita telah melepasi ia (Ramadhan).



Berbalik kita kepada hadis di atas yang berperihalkan tentang Asal Kejadian Manusia dan Taqdir. Sekarang cuba kita renungkan betapa jelasnya ilmu Islam itu. Sehinggakan diperincikan tentang asal kejadian manusia kepada kita. Jika dilihat kepada hadis diatas, proses kejadian manusia boleh diurutkan seperti berikut:

1. Pembentukan yang berupa nutfah (40 hari)

2. Pembentukan yang berupa segumpal darah (40 hari)

3. Pembentukan yang berupa gumpalan seperti sekerat daging (40 hari)

4. Kemudiannya di tiupkan roh dan ditetapkan padanya TAQDIR


Jika dihitung, proses pembentukan seorang manusia sebelum ditiupkan roh adalah sebanyak 120 hari atau 4 bulan. Dalam pada masa ini, seorang ibu mula merasai tentang kenikmatan berbadan dua. Di sini mula tersingkap perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap seorang kanak-kanak atau bayi. Di sini juga mula berputik perasaan tanggungjawab yang meninggi di kalangan bapa. Namun, di kalangan itu, ada juga segelintir manusia yang sikapnya lebih jahat daripada binatang sehinggakan sanggup membunuh, membuang dan melakukan pelbagai perbuatan yang boleh dianggap seumpama seekor binatang bahkan mungkin lebih teruk lagi.


Justeru, Islam sangat-sangat menjaga umatnya agar sentiasa menjaga batas pergaulan antara seorang lelaki dan juga seorang wanita agar sentiasa berada dalam keadaan yang jauh daripada zina. Pasti setiap daripada kita sudah terbiasa dengan ayat Allah yang berbunyi;


maksudnya: "Janganlah kamu mendekati zina"


Hendaklah kita faham mengapa Allah menyuruh kita agar menjauhi atau jangan mendekati tetapi bukannya menyuruh kita agar jangan melakukan zina. Harus diingat bahawa dua kata ini (menjauhi dan jangan) amatlah jauh bezanya.


Baiklah, kembali kita perihal tentang kejadian manusia. Allah SWT berfirman;


maksudnya: "Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah {12} Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan dalam tempat yang kokoh (rahim) {13} Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik {14}"
Surah Al-Mukminun : Ayat 12 -13
Maha Suci Allah Tuhan Sekalian Alam, yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Maka hendaklah kita manusia yang telah diciptakan oleh ALLAH kembali kepadanya dalam keadaan yang penuh bersih dan suci dari segala dosa dan kotor (kemungkaran). Sungguh, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Islam itu adalah pilihan yang paling tepat. Kita sebagai manusia hendaklah bersyukur dengan segala macam nikmat yang telah dikurniakan ALLAH. Justeru, suka bagi diri ana, menyoal kembali diri ana, adakah aku ini telah bersyukur? Maka, bagaimanakah syukur itu? Adakah memadai dengan sekadar mengucapkan lafaz ALHAMDULILLAH ? Mahu atau tidak, wajib bagi diri kita untuk terus belajar dan belajar sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud "carilah ilmu sampai ke negeri Cina" dan "belajarlah kamu dari buaian hingga ke liang lahad". Jika kita teliti kembali, adakah cukup sekadar kita belajar tanpa mengamalkannya?
Di sini, ada sedikit pandangan berkaitan bersyukur. Ya, semestinya kita perlu dan seharusnya mengucapkan rasa syukur kita dengan menyebut lafaz ALHAMDULILLAH dalam setiap apa yang kita perolehi dan jalani. Selain itu, makna pada kata syukur ini adalah lebih luas. Dengan hadirnya perasaan syukur di hati kita ini, maka makin bertambahlah amal kebaikan kita, dan demikian itulah jua makin kurang kejahatan dalam diri kita. Hendaklah kita menerapkan perasaan taqwa dengan lebih mendalam lagi. Supaya apa? Supaya diri kita semakin dan menjadi lebih rapat dengan Tuhan Rabbul Alamin.
Bagaimana pula kita hendak mengaitkan dengan Rukun Imam yang enam iaitu Percaya dan Yakin Kepada Qada' dan Qadar. Hendaklah kita faham, dalam hadis di atas, telah diberitakan bahawa, telah ditetapkan 4 perkara takkala ditiupkan roh ke dalam diri kita. Mereka adalah:
1. Rezeki
2. Ajal (Umur)
3. 'Amal (Pekerjaan)
4. Celaka atau Bahagiakah Kita
Semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Maka hendaklah kita mengaplikasikan konsep syukur dalam penerimaan kepada Qada' dan Qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Maka, hendaklah kita faham bahawa setiap yang berlaku dan hadir kepada kita itu bukan hadir semata-mata tetapi ia hadir sebagai petunjuk, pedoman dan sebagai hikmah buat diri kita.
Sebagai penutup bicara, hendaklah kita memohon agar hati kita, orang yang berhampiran kita, orang yang disekeliling kita dan sekalian muslimin dan muslimat ditetapkan hatinya dibawah naungan ALLAH dari awal hadir kita ke dunia hinggalah kembali kita kepadaNYA suatu masa nanti. Moga-moga setiap daripada kita ditempatkan bersama orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH Taala. Moga syurga menjadi kediaman kita takkala bertemu denganNya bila kita pulang (mati).
Sekian, wassalam dan selamat berpuasa.
nukilan;
pena al-'assya

1 comments:

pena 'assya said...

Sedarlah wahai anak, berhentilah dari menderhaka, marilah kita kembali ke pangkalnya

 
Powered by Blogger